Setiausaha Sulit Menteri Belia dan Sukan, Mohamed Amshar Aziz (dua kiri) ketika menerima memorandum membantah penukaran Kempen Hari Sukan Negara dari Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris oleh Penyelaras IKWAM, Mohd Affandi Ramli (kanan) di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 23 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Belum pun reda isu penukaran Hari Sukan Kebangsaan kepada Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC), keadaan kini bertambah keruh apabila Setiausaha Sulit (SUS) Menteri Belia dan Sukan, Mohamed Amshar Aziz pula mengatakan perkara itu timbul kerana media membuat salah tafsir dalam laporan berita, semalam.

Menurut Mohamed Amshar, kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong semalam telah disalahtafsirkan pihak media termasuk media cetak melainkan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Saya rasa itu kita boleh tanya media, bukan media dipersalahkan, kena tanya media sebab kita tengok sesetengah akhbar dia laporkan cara lain, sesetengahnya pula lain.

“Kadang-kala media ini pun dia salah tafsir kenyataan dan sebagainya, jadi kita tak boleh salahkan mana-mana pihak.

“Tapi kita tak salahkan media, sebab media akan tanya soalan untuk membalas sesuatu, Menteri membalas kenyataan.

“Kenyataan tersebut adalah untuk melazim dan menyampaikan hasrat Menteri dan kita tidak menyalahkan mana-mana pihak dan ini adalah perkara biasa, salah faham berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Amshar ditemui Pertubuhan Ikatan Warga Malaysia (IKWAM) yang diketuai penyelaras nya, Mohd Affandi Ramli di sini yang menyerahkan Memorandum Membantah Penukaran Kempen Hari Sukan Negara daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris.

Semalam, Steven berpendapat, penggunaan nama ‘Malaysia Sports Challenge 2019′ bukanlah tindakan merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, nama tersebut bertujuan meluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Dalam pada itu, Mohamed Amshar juga menjelaskan, salah faham itu sudah diperbetulkan melalui kenyataan terbaru oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini.

“Secara lazimnya apa yang berlaku adalah aktivitinya dinamakan sebagai Bulan Sukan Negara

“Menteri pun sudah keluarkan kenyataan sebentar tadi.

“Hari Sukan Negara adalah sebahagian daripada program bulan sukan negara yang lebih besar.

“Jadi dalam bulan sukan negara itu ada Hari Sukan Negara yang akan berlangsung pada 12 Oktober.

“Dalam kenyataan Menteri sebentar tadi, beliau menyenaraikan program yang akan turut serta dalam bulan sukan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan kenyataan Menteri disalahtafsirkan sekali lagi apabila istilah menyebut penggunaan Bahasa Inggeris lebih berprestij berbanding Bahasa Kebangsaan.

“Tak, saya rasa kenyataan Timbalan Menteri itu ditafsir secara tidak begitu tepat.

“Apa yang dimaksudkan ialah kita tengok dalam media sosial banyak challenge, MySC sebahagian daripada bulan sukan negara,” katanya. – MalaysiaGazette