KUALA LUMPUR – Siasatan dan tindakan tegas akan menyusul ke atas penganjur perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di kawasan tumpuan orang awam Little India, Brickfields pada jam 2 petang esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, penganjur telah dinasihatkan polis agar tidak meneruskan perhimpunan itu.

Beliau mengesahkan menerima notis daripada penganjur himpunan ‘Say No to Zakir Naik, Equal Rights to Indians & Other Races’, sambil menjelaskan ia tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

Jelasnya, notis tersebut mengikut seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung hasrat mengadakan himpunan di Little India, Brickfields pada pukul tujuh petang, 24 Ogos.

Arifai juga menggesa orang ramai agar tidak menyertai satu lagi himpunan pada hari ini kerana notis yang dikemukakan penganjur berkenaan juga tidak lengkap seperti dikehendaki undang udang.

“Penganjuran perhimpunan itu tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jika mereka tetap meneruskan perhimpunan, siasatan dan tindakan akan diambil mengikut akta yang sama dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul dalam WhatsApp selepas diminta penjelasan mengenai tindakan polis susulan maklumat yang tular dalam WhatsApp yang mendakwa penganjur akan meneruskan dua perhimpunan yang dirancang di Little India walaupun tanpa kebenaran polis.

Terdahulu sebuah lagi mesej ditularkan dalam media sosial dan WhatsApp kononnya bermula 7 hingga 9.30 malam hari ini akan berlaku keadaan tidak menyenangkan kerana dijangkakan rusuhan bermula di kawasan Little India hingga ke NU Sentral.

Sementara itu, Arifai berkata, mesej yang tular menyatakan akan terdapat keadaan yang tidak menyenangkan di kawasan Little India, Brickfields pada 23 dan 24 Ogos 2019 adalah tidak benar dan buat masa ini keadaan di situ selamat dan terkawal.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya serta menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menyebabkan kegusaran dalam masyarakat.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette