KUALA LUMPUR – Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie menempelak laporan media tempatan kononnya UKM FC mempertikaikan Malaysian Football League (MFL) berhubung kelewatan pembayaran hak penyiaran siri kedua pasukan bertanding Liga Malaysia.

Lebih tepat, Fairus mengakui beliau kecewa dengan sikap media tersebut dengan mengambil konteks di laman media sosial tanpa merujuk apatah lagi meminta kebenaran daripadanya.

Jelas Fairus, UKM FC memandang serius laporan tersebut biarpun media berkenaan tidak menamakan mana-mana individu dari UKM FC sehingga menimbulkan salah faham banyak pihak.

“Pertama soalan daripada saya adalah siapakah wartawan itu dan bagaimana dia boleh menulis artikel tanpa meminta kebenaran daripada saya sendiri? Lebih mengejutkan dia langsung tidak menelefon saya.

“Saya cukup kesal kerana ia jelas melanggar etika kewartawanan di mana wartawan itu sepatutnya menghubungi saya. Jangan sekadar main ‘kutip’ (kenyataan) di laman sosial. Apatah lagi isu yang saya nyatakan di laman media sosial itu sama sekali tidak menyentuh hal agihan hak penyiaran MFL seperti mana artikel yang dia tulis.

“UKM FC memandang serius dalam isu ini dan kami sangat kesal kerana ada perbuatan sebegini telah memberikan impak.

“Mana-mana individu boleh buat kenyataan di laman sosial, itu adalah hak peribadi mereka dan ia menjadi satu perbuatan tidak adil jika ada mana-mana media menjadikan ia sebagai satu kenyataan tanpa merujuk atau meminta izin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fairus mengakui beliau gembira dengan kejayaan pasukannya menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi Challenge Cup di Stadium Kuala Lumpur, Selasa lalu.

“Sudah pasti saya sangat teruja dengan kejayaan itu dan secara tidak langsung membuktikan UKM FC semakin hampir untuk menyaingi kualiti pasukan hebat seperti Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun perjalanan kami masih jauh dan UKM FC tekad untuk meneruskan momentum terbaik dalam Challenge Cup,” ujarnya. – MalaysiaGazette