Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif ke atas import China, sekali gus meningkatkan ketegangan perang perdagangan antara kedua-dua kuasa besar itu.

Dalam Twitternya, Trump mengumumkan tambahan kenaikan tarif sebanyak 5% ke atas import China.

Pengumuman itu dibuat selepas China merancang untuk mengenakan tarif bernilai AS$75 bilion pada barangan Amerika Syarikat.

Trump menyifatkan tindakan Beijing itu sebagai ‘bermotifkan politik’ dan menuduh mereka mengambil kesempatan ke atas Amerika Syarikat.

“Sayangnya, pentadbiran yang lalu telah membenarkan China melaksanakan amalan perdagangan yang jauh daripada adil dan seimbang sehingga ia menjadi beban yang besar kepada pembayar cukai Amerika,” kata Trump menerusi Twitter

Tambahnya: “Sebagai presiden, saya tidak lagi boleh membenarkan perkara ini berlaku!”

Trump juga berkata beliau telah “dengan ini memerintahkan” syarikat-syarikat Amerika untuk mencari alternatif kepada China dan menyarankan mereka membuat produk sendiri di Amerika Syarikat.

Sebelum ini, China merancang untuk menaikkan duti antara 5 dan 10% terhadap lebih 5,000 produk Amerika Syarikat termasuk barangan agrikultur, pesawat dan minyak mentah.

Ia juga akan menggantung 25% duti ke atas kereta import.

Tarif baharu itu akan memberi kesan ke atas barangan Amerika Syarikat pada nilai AS$75 bilion, akan dilaksanakan dua peringkat pada 1 September dan 15 Disember.

Trump memberitahu, Amerika Syarikat akan menaikkan tarif sebanyak AS$250 bilion bagi import China daripada 25 hingga 30% mulai 1 Oktober ini.

Beliau juga merancang tarif bernilai AS$300 bilion bagi barang China yang lain kepada 15% berbanding 10% sebelum ini.

Trump berkata, rancangan kenaikan tarif 10% pada 1 Ogos lalu disebabkan China gagal menunaikan janji untuk membeli lebih banyak barangan agrikultur Amerika Syarikat.

Tarif itu membabitkan barangan elektronik dan pakaian, dijangka diperkenalkan pada September ini tetapi ada yang menyatakan ia mungkin ditanggungkan pada pertengahan Disember agar tidak menjejaskan sambutan Krismas. – MalaysiaGazette