PETALING JAYA – Selagi bahasa Melayu tidak diberi nilai ekonomi dan diangkat darjatnya, selagi itu ia akan ‘bermasalah’ kata Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Menurut Johan, isu terbaru melibatkan Kementerian Belia dan Sukan yang menukar nama Hari Sukan Negara 2019 kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) adalah contoh bagaimana bahasa Melayu tidak diberi tempat yang sepatutnya.

“Saya pun kesal dengan dengan banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita pada hari ini, kita mengabaikan sama sekali penggunaan bahasa Melayu, kalau nak guna undang-undang dan peraturan, sampai banyak mana dan berapa kali kita nak guna?

“Menteri dan kementerian kena tunjuk contoh yang baik dalam hal ini,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette dalam program temubual Owh!MG di kediamannya di sini semalam.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika mengumumkan pertukaran nama program itu berkata, penggunaan MySC tidak merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Sebaliknya, Chee Keong mendakwa penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Johan mahu melihat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lebih berani membuat teguran dalam soal bahasa ini tanpa mengira siapa pun yang melakukan kesalahan mengenainya.

” DBP bukan saja perlu memastikan yang bahasa Melayu itu diperluas dan diperkembangkan, tetapi juga pemerhati yang boleh menegur mana-mana badan-badan, kementerian dan sebagainya.

“Sebab itu kita mesti mengangkat bahasa Melayu dalam konteks nilai ekonominya supaya orang tahu bahawa bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi,” ujarnya.

Johan juga menegur menteri berketurunan Melayu yang gemar mencampuradukkan penggunaan bahasa bila berbicara.

Katanya, beliau kagum dengan menteri bukan Melayu yang bila bercakap mampu menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

“Bila sampai menteri Melayu bercakap, bahasanya tiba-tiba menjadi ‘rojak’. Kita menganggap seolah-olah bila ini bahasa kita, kita boleh cakap sesuka hati kita sahaja.

” Ini sangat menyedihkan,” ujar Johan lagi. – Malaysia Gazette.