Wang milik Putri yang dimakan anai-anai. foto ANN

JAKARTA – Seorang wanita, Putri Buddin, kerugian berjuta-juta rupiah apabila wang tunai yang disimpan dalam almari kabinet dimakan anai-anai.

Putri telah berkongsi ganbar wang tunai yang rosak melalui Twitternya @putribuddim.

Beliau telah menyimpan wang tersebut di dalam kabinet tahun lepas untuk neneknya, yang baru sahaja meninggal dunia.

“Saya memberikan kepada nenek Rp 3 juta (RM883) secara tunai. Dia tidak mahu menggunakannya, jadi saya memasukkannya ke dalam kabinet. Saya memberitahu dia jika dia memerlukan wang dia boleh mengambilnya dari sana,” kata Putri.

Tambahnya, neneknya tidak mengambil wang tersebut sebaliknya terus menyimpannya di dalam almari itu sehingga jumlahnya berjumlah Rp10 juta.

“Saya tidak tahu dan saya juga lupa telah meletakkan wang dalam kabinet,” ujarnya.

Selepas neneknya meninggal dunia, Putri memeriksa wang berkenaan dan mendapati ia disimpan dalam dua plastik beg.

“Terdapat dua bungkusan, satu dalam beg kertas dan satu lagi beg plastik. Saya buang beg kertas itu kerana ia menjadi sarang anai-anai.

“Saya kira jumlah wang dalam beg plastik dan ia berjumlah Rp 5.4 juta,” kata Putri yang kemudian ke Bank Indonesia untuk bertanya sama ada wang yang rosak itu boleh ditukar.

Malangnya, bukan semua boleh ditukar. – MalaysiaGazette