KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan berikutan persekitaran yang positif.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, corak dagangan kini telah berubah, yang menunjukkan bahawa trend penurunan baru-baru ini sudah hampir berakhir, dan pasaran akan mengalami kebangkitan semula.

“Bursa tempatan dijangka didagangkan lebih tinggi, kekal melepasi paras penanda aras 1,600 mata, yang juga akan menarik minat belian semasa harga rendah walaupun wujud kebimbangan terhadap prospek ekonomi global di tengah-tengah perang perdagangan yang berpanjangan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu yang baru berakhir, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi pada 1,609.33, paras tertinggi sejak penurunan pada 13 Ogos disebabkan oleh kebimbangan terhadap kemelesetan selepas Dow Jones Industrial Average merosot lebih daripada 800 mata.

Bursa tempatan terus menembusi tahap rintangan1,600, disokong oleh belian institusi walaupun kedudukan pasaran serantau lemah disebabkan perang perdagangan dan kekelembapan ekonomi yang menjejaskan sentimen pelabur

Nazri berkata, selain isu politik di Hong Kong, United Kingdom dan Itali, para pelabur juga menunggu ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan US Jerome Powell pada simposium tahunan Jackson Hole, mengenai prospek kadar faedah.

Pasaran juga akan bertindak balas terhadap dasar yang dibuat pada mesyuarat G7 di Perancis pada hujung minggu dan keputusan mengenai sama ada Malaysia akan kekal dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) pada minggu yang akan datang.

Pada Jumaat, pasaran tempatan ditutup lebih tinggi, disokong oleh belian institusi di kaunter mewah berkaitan kerajaan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 10.11 mata kepada 1609.33 berbanding 1599.22 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu ini, pasaran didagangkan dalam jajaran kecil susulan kurangnya minat belian sementara menunggu arah tuju baharu, terutama daripada simposium Jackson Hole dan mesyuarat G7.

Indeks FBM Emas meningkat 78.04 mata kepada 11386.15, Indeks FBMT 100 menambah 73.68 mata kepada 11,219.33 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 80.97 mata kepada 11,924.19.

FBM 70 menokok 106.33 mata kepada 14,180.45 manakala Indeks FBM Ace merosot 34.09 mata kepada 4,555.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 130.82 mata kepada 15,655.33, Indeks Perladangan naik 83.32 mata kepada 6,841.69 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.85 mata kepada 150.57.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 10.32 bilion unit bernilai RM7.00 bilion berbanding 8.33 bilion unit bernilai RM6.6 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.95 bilion saham bernilai RM6.28 bilion daripada 5.38 bilion saham bernilai RM5.99 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.86 bilion unit bernilai RM421.67 juta daripada 1.75 bilion unit bernilai RM449.52 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat 1.54 bilion saham bernilai RM297.51 juta daripada 1.17 bilion saham bernilai RM187.90 juta pada minggu lepas. – MalaysiaGazette