Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Haji Osman bercakap pada sidang media sempena Pidato Putra Merdeka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menutup Kementerian Pembangunan Usahawan daripada terus berada dalam Kabinet kerana tanggungjawabnya sudah berakhir dengan keputusan menghentikan pemberian geran percuma kepada usahawan Bumiputera.

Naib Presiden penaja parti Putra Malaysia, Datuk Hamidah Osman menegaskan, kalau semua bantuan dihentikan, apa lagi peranan yang hendak dimainkan oleh kementerian berkenaan.

“Jawapannya, lebih baik tutup. Saya sendiri pun tidak pasti apa peranan Kementerian Pembangunan Usahawan diwujudkan.

“Kalau geran tidak ada, maka apa peranan dan fungsi kementerian? Baik tutup sekurang-kurangnya dapat jimatkan perbelanjaan negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra di sini, hari ini.

Semalam, Menteri, Datuk Mohd Redzuan Mohd Yusof dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu.

Menurut beliau, kebanyakan usahawan Bumiputera hanya mengharapkan bantuan kerajaan, tetapi tiada ilmu dan daya tahan apabila menceburi perniagaan.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan berkata, tidak semua pemberian geran usahawan Bumiputera dihentikan kerana kerajaan masih memberi geran padanan melalui agensi bawah kementeriannya.

Mengenai perbuatan segelintir pihak tertentu memasang Jalur Gemilang secara terbalik, Hamidah memberitahu, beliau tertanya-tanya apa motif insiden itu.

Katanya, berikutan perbuatan itu, masing-masing kalangan rakyat membuat persepsi termasuk ada yang mencetuskan perkauman, kononnya memasang bendera terbalik sebagai lambang peperangan orang Melayu dan sebagainya.

“Kerajaan patut tampil, termasuk polis untuk menjelaskan hasil siasatan. Ini perkara pelik, kita sudah penat buat laporan, tetapi tidak tahu polis siasat atau tidak.

“Kerajaan patut hindarkan perasaan tidak selesa rakyat di bawah dengan perbuatan ini,” katanya.

Mengenai isu seorang anggota Exco Perak menghadapi pertuduhan kes merogol amah, beliau berharap, tidak ada campur tangan dari mana-mana pemimpin politik.

Katanya, serahkan kepada mahkamah untuk membuat keadilan, bukan berdolak dalik kononnya kes itu dirancang dan terbaharu, didakwa ada individu diupah untuk membuat laporan polis berhubung kejadian rogol itu. – MalaysiaGazette