JOHOR BAHRU- Kebakaran melibatkan kawasan seluas 2.4 hektar hutan berbukit berhampiran Taman Tema Legoland dan sebuah hotel di Medini, Iskandar Puteri, petang semalam, berjaya dipadamkan awal hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Kamil Zulkiefle berkata, operasi pemadaman ditamatkan pukul 3.15 pagi ini selepas api padam sepenuhnya di kawasan berkenaan.

“Api berjaya dikawal dan dipadamkan dengan kaedah ‘fire break’ iaitu membina parit bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan Taman Teman Legoland dan hotel berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Selain bomba, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Legoland dan hotel berkenaan.

Punca dan anggaran kerugian kebakaran itu masih dalam siasatan.

Semalam, bomba menerima panggilan kebakaran itu pukul 4.25 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin digerakkan melakukan operasi pemadaman. – MalaysiaGazette