Jamal Md Yunos
Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa menghormati Perlembagaan negara yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman, tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berharap polis tidak menghalang mana-mana perhimpunan kerana ketidakpuasan sesuatu isu.

“Apa salahnya mereka nak berhimpun…untuk menunjukkan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang mereka tidak puas hati.

“Harap polis jangan halang..cuma polis kawal lalu lintas dan keselamatan sahaja,” katanya dalam hantarannya di grup aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim semalam memberikan amaran keras agar orang ramai agar tidak menyertai dua perhimpunan yang dirancang malam semalam dan hari ini.

Perhimpunan Bantahan Tulisan Khat Sekolah Tamil pada jam 7 malam semalam dan himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians dan Other Races’ dijadual diadakan jam 2 petang, hari ini.

Bagaimanapun penganjur himpunan berkenaan, Shankar Ganesh berkata, pembatalan perhimpunan aman hari selepas mendapat panggilan telefon daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jamal juga mencadangkan perhimpunan itu perlu diadakan sepanjang minggu untuk memberi ruang kepada bukan Islam menyatakan bantahan yang melibatkan kepentingan mereka.

“Saya mengesyorkan supaya perhimpunan tersebut diadakan 7 hari 7 malam.

“Ia supaya dilihat mereka bersungguh-sungguh dengan apa yang mereka inginkan… (sesuai dengan) sekarang zaman Malaysia baru,” katanya lagi. – MalaysiaGazette