Muhammad Fauzi Yusoff
Muhammad Fauzi Yusoff

KUALA LUMPUR – Pas Pulau Pinang mendakwa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow masih teraba-raba dalam menguruskan agenda pembangunan di negeri itu.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, walaupun sudah lebih satu tahun menerajui kerajaan DAP, beliau masih lagi dalam peringkat meneliti pelbagai pilihan melibatkan kaedah pengangkutan awam yang bersesuaian dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ini tegasnya, secara jelas menunjukkan kepincangan telah bermula seawall merancang, apatah lagi jika pelaksanaan dilakukan, akan mengundang banyak kesan buruk.

“Kita lihat Ketua Menteri ini seperti meraba-raba dalam gelap apabila menyatakan masih meneliti pelbagai pilihan membabitkan kaedah pengangkutan awam yang bersesuaian dengan Pelan Induk PTMP.

“Pengakuan ini membuktikan hakikat kerajaan DAP Pulau Pinang kabur serta tidak dapat menjamin kepastian terhadap agenda pembangunan sedang diterajuinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhammad Fauzi, tindakannya itu juga menyerlahkan lagi betapa projek PTMP dibuat dalam keadaan terburu-buru dan dipenuhi nafsu serakah untuk menggapai agenda yang terselindung di sebaliknya.

Secara tidak langsung, katanya, Kon Yeow juga mengesahkan bantahan mengenai projek itu.

“Bukti telah pun nyata, antaranya kejadian banjir dan tanah runtuh yang begitu kerap hingga membawa kepada kematian.

“Ia sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan bahawa pelan kepada projek mega ini adalah keterlaluan dan melampau dalam banyak aspek.

“Bagi Pas Pulau Pinang, kita melihat tindakan diambil ini lebih kepada mengejar tujuan lain iaitu politik, berbanding hasrat sebenar untuk menangani masalah lalu lintas di bahagian pulau khususnya,” ujar beliau.

Katanya, ini diperkukuhkan lagi dengan perasaan malu yang diluahkan Kon Yeow dari kematian lebih 50,000 ikan di Teluk Bahang yang disedari berpunca dari banyak kacau ganggu ke atas alam.

“Apakah Kon Yeow tidak dapat lagi membezakan projek ini sama ada benar-benar sebuah pembangunan atau perosak? Jika masih keliru dengan kejadian yang nampak jelas seperti ini, barangkali Kon Yeow menghidapi mental disorders dan amat perlu berehat dari politik.

“Namun, seandainya seluruh komponen projek ini tetap mahu diteruskan kerajaan DAP Pulau Pinang bersama segala kekaburan dan kekeliruan yang diakui ini, ia bukti terang bahawa PTMP adalah agenda politik.

“Terima kasih Kon Yeow atas ketelusannya pada semua penyataan tersebut yang sebenarnya sudah cukup menunjukkan DAP Pulau Pinang sedang bertindak ‘menggali kubur sendiri’,” katanya.

Pas negeri itu mencadangkan segala keserabutan dan kemelut yang ditimbulkan oleh pelbagai keghairahan serta kepentingan itu diselesaikan dengan kembali kepada tujuan asal PTMP.

Kata beliau, masalah kesesakan lalu lintas tidak harus dipolitikkan, sebaliknya cadangan agak komprehensif dan memberi manfaat kepada rakyat awam adalah sebagaimana pelan asal dikemukakan Halcrow. – MalaysiaGazette