Pyongyang melancarkan dua lagi peluru berpandu jarak dekat pada 24 Ogos 2019, bedilan kali ketujuh dalam tempoh beberapa minggu. foto Agensi

SEOUL – Korea Selatan membedil dua peluru berpandu jarak pendek ke dalam laut di pantai timurnya pada hari Sabtu, kata tentera Korea Selatan.

Seorang pegawai Amerika Syarikat mendakwa kedua-dua peluru berpandu itu kelihatan sama seperti dilancarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pelancaran terbaharu itu adalah kali ketujuh oleh Korea Utara sejak Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bertemu di sempadan antara Korea pada bulan Jun lalu.

Senario semasa itu dilihat merumitkan keadaan dalam usaha kedua-duanya memulakan semula rundingan dalam usaha menghapuskan senjata nuklear pada masa depan.

Trump dan Kim telah bersetuju untuk memulakan rundingan pada Jun tetapi sejak itu usaha Amerika Syarikat itu dilihat sukar.

Wakil Amerika Syarikat berhubung Korea Utara, Stephen Biegun telah ke Seoul minggu ini untuk mencari jalan bagi melaksanakan rundingan semula itu.

Ketua Pegawai Bersama Korea Selatan (JSC) berkata, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat pada hari ini, jam 6.45 pagi dan 7.02 pagi KST (2145, 2202 GMT pada hari Jumaat) dari sekitar Sondok, wilayah Selatan Hamgyong.

Sondok adalah tapak lapangan terbang ketenteraan Korea Utara.

Peluru berpandu itu terbang kira-kira 380 kilometer (236 batu) dan mencapai ketinggian 97 km (60 batu), kata JSC.

Pengawal Pantai Jepun telah memberi amaran perkapalan supaya tidak mendekati sisa-sisa yang jatuh. – MalaysiaGazette