Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 17.2 peratus atau 3.47 juta rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidapi penyakit hipertensi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 itu turut mendapati 9.2 peratus atau 1.85 juta rakyat negara ini tidak mengetahui mereka menghidapi diabetes.

“Ini satu perkara sangat membimbangkan… NCD (penyakit tidak berjangkit) adalah cabaran paling besar untuk kita melahirkan masyarakat sejahtera.

“Sebab itu kementerian sedang menjalankan pelbagai program bagi ‘memburu’ mereka yang tidak sedar menghidapi NCD,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kampungku Sihat dan Bulan Kebangsaan peringkat Terengganu di Dataran Batu Burok di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan sejak April lepas, program Kampungku Sihat juga satu daripada inisiatif kementerian untuk menangani NCD.

Melalui program itu, ujian saringan hipertensi dan diabetes akan dijalankan dari rumah ke rumah di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara, katanya.

Sementara itu, beliau berkata laporan mengenai keputusan forensik 12 mayat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, dijangka diterima dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Laporan kita tunggu itu mengenai keputusan tiga aspek melibatkan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA), keputusan toksikologi dan logam berat serta entomologi. Ia kini berada di peringkat terakhir, dan keputusan laporan itu akan dibentangkan kepada saya dua minggu lagi,” katanya.

Pada 17 Jun lepas, berdasarkan ujian makmal, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, yang turut menyebabkan kematian, kerana demam campak.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai rombakan Kabinet seperti dilaporkan, namun percaya apa sahaja dilakukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan negara.

Pada Khamis, ketika ditanya mengenai laporan akan berlaku rombakan Kabinet pada bila-bila masa, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau ada menyatakan kepada jemaah menteri tentang cadangan melakukan sedikit pertukaran portfolio dalam kalangan anggotanya, namun belum berbuat demikian. – MalaysiaGazette