KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy tidak bersetuju dengan analisis dibuat oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia di negara ini

Tetapi pada masa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Prai itu yakin ada juga ‘kebaikan’ dengan Alston yang sebelum ini  mendakwa Malaysia mempunyai ‘kemiskinan ketara’, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus.

Namun, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, beliau bersedia untuk melihat keperluan sekiranya kaedah mengukur dan pembasmian kemiskinan yang diamalkan perlu disemak semula.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia tetap dengan pendiriannya berhubung kadar kemiskinan tegar yang kini direkodkan pada kadar 0.4 peratus daripada keseluruhan isi rumah pada tahun 2016 atau berjumlah 24,700 isi rumah.

“Jadi saya tidak faham mengapa pula Azmin beria-ia dengan pendirian dan mempertahankan angka kerajaan?

“Walaupun saya tidak semestinya bersetuju sama dengan PBB mahupun Azmin, saya fikir angka rasmi bukanlah kebenaran muktamad mengenai keadaan sebenar kemiskinan di negara ini dengan populasi yang ‘dinafikan’ keperluan asas itu.

“Hakikatnya, ini lebih baik kerana kini kita boleh lakukan kajian mendalam menyemak kembali analisis terbabit.

“Ingatlah, sebenarnya apa yang jauh lebih penting bukanlah angka-angka ini dan siapa betul, sebaliknya persoalan sejauh mana kebenaran golongan miskin ini terpinggir daripada mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam Facebook beliau.

Semalam, Mohamed Azmin berkata kesimpulan yang dibuat oleh Alston bahawa terdapat ‘kecacatan statistik yang membawa akibat buruk’, tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, ketika kerajaan menghargai usaha oleh Pelapor Khas itu dalam meningkatkan kesedaran berhubung isu kemiskinan, ada komen-komen tertentu beliau yang dilihat tidak berasas dan tidak patut.

Dalam satu laporan yang didedahkan semalam, Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, kata beliau, kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus.

“Realitinya, Malaysia dilihat mempunyai kadar kemiskinan hampir dengan negara lain iaitu 15 peratus. Masalah utamanya ialah kewujudan 0.4 peratus yang melibatkan 25 ribu isi rumah di Malaysia dikategorikan miskin. Pada akhirnya, ia dilihat pada proses membuat polisi,” tegasnya.

Menurut Alston, kadar kemiskinan terendah iaitu 0.4 peratus yang dicapai pada 2016 adalah kerana Malaysia meletakkan penanda aras kemiskinan sebanyak RM980 sebulan bagi setiap isi rumah.

Bagaimanapun, beliau tidak mencadangkan penanda aras yang sesuai diguna pakai oleh kerajaan.

Laporan penuh Alston akan dibentang kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada Jun 2020.–MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/24/azmin-kata-dakwa-sahih-bukti-bn-berjaya-kurangkan-kadar-kemiskinan/

1 Komen

Comments are closed.