KUALA LUMPUR – MCA menggesa Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil kira pelaksanaan semula projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura sebagai salah satu penyelesaian efektif kepada kesesakan trafik yang semakin serius.

Kerajaan perlu mengambil contoh negara-negara maju yang berorientasikan pengangkutan awam, pembangunan mampan dan penggunaan tenaga hijau.

Bagi tempat yang mempunyai jumlah trafik yang tinggi seperti Tambak Johor, pengangkutan rel dilihat sebagai satu penyelesaian yang baik kerana memiliki kapasiti penumpang yang tinggi, tempoh masa perjalanan yang pendek dan sering menepati masa.

Malah, pengangkutan rel juga lebih selamat dengan kadar kemalangan yang rendah.

Oleh itu, Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Sengia berharap Dr Mahathir akan mengetepikan perbezaan politiknya dan mengkaji semula penyambungan projek RTS Johor-Singapura demi kebaikan rakyat.

“Apabila RTS dibuka, ia mampu mengangkut sebanyak 10,000 penumpang sejam, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan Tambak Johor dan menyelesaikan masalah kesesakan trafik berbanding pengangkutan rel jarak pendek KTM sedia ada yang menghubungkan Johor Bahru Sentral dengan Woodland yang mampu menampung 300 penumpang sejam.

“Kami percaya jika RTS dilaksanakan seiring dengan penambahbaikan prosedur imigresen dan kastam, kesesakan trafik mampu diatasi,” katanya yang berharap penyambungan projek RTS akan diberi keutamaan lebih-lebih lagi apabila tempoh penangguhan selama satu tahun akan berakhir pada 30 September ini.

Kerajaan terpaksa membayar lagi pampasan RM200 juta kepada Singapura jika kerajaan Pakatan Harapan enggan meneruskan projek tersebut, katanya. – MalaysiaGazette