Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris
Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah perbuatan biadab dan melampau serta mencermarkan kedaulatan negara, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Katanya, beliau juga tidak boleh menerima alasan perbuatan itu satu kesilapan yang tidak disengajakan.

“Mereka tidak tahu bersyukur menjadi rakyat Malaysia dipersilakan keluar dari tanah air ini supaya kita dapat hidup aman harmoni tanpa adanya musuh dalam selimut.

“Di manakah menteri dan tokoh politik Pakatan Harapan (PH) ketika Jalur Gemilang yang menjadi simbol penyatuan dihina sedemikian rupa? Adakah kerajaan hari ini lebih mementingkan kepentingan parti berbanding negara?,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu bersetuju bahawa Malaysia di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh lebih aman berbanding kerajaan sekarang.

Dr. Najmil Faiz berkata, dahulu semangat kemerdekaan dapat dirasai dan dilihat sejak awal bulan Ogos lagi dengan pelbagai program patriotik anjuran kerajaan.

Katanya, rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan umur menyambutnya dengan gembira dan bersatu padu atas nama warganegara Malaysia.

“Namun, sejak PH memerintah negara, pelbagai isu dan provokasi telah berlaku yang sikit demi sikit melunturkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, di zaman BN, Malaysia merupakan model contoh bagi pelbagai negara kerana kerajaan masa itu berjaya mencorakkan keharmonian serta meletakkan nama Malaysia di mata dunia bermula dari Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga ke Program Transformasi Ekonomi.

Hakikatnya, kini Malaysia berada di landasan yang kacau-bilau dengan terjadinya perpecahan rakyat, masalah ekonomi, ketidakcekapan tadbir urus serta pelbagai lagi isu dan akhirnya merugikan bumi bertuah ini. – MalaysiaGazette