KUALA LUMPUR – MIC menyokong langkah kerjasama penyatuan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas kerana ia mampu mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Malah, kerjasama yang dilakukan oleh kedua-dua parti itu dapat memberikan keuntungan dalam usaha mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang selain ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penyokong, kata Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran.

“Usaha kita untuk mengeratkan silaturahim ini tidak akan berjaya jika kita hanya bekerjasama dengan UMNO.

“Sudah 50 tahun kita dengan UMNO dan apa yang kita dapat adalah sebahagian daripada orang Melayu yang faham dengan pendirian kita.

“Tetapi dengan bekerjasama dengan Pas saya berharap bahawa usaha murni ini dan kuatkan lagi silaturahim dengan semua kaum yang ada,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di PWTC hari ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama pada perhimpunan berkenaan, Vigneswaran berkata, pertemuannya dengan pimpinan Pas baru-baru ini telah memberi hikmah kerana timbul persepakatan untuk menjalinkan hubungan kerjasama.

Katanya, hubungan silaturahim juga dapat dieratkan dan tidak wujud sebarang masalah dalam usaha mewujudkan perpaduan kaum. – MalaysiaGazette