Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador digesa bertindak tegas terhadap golongan yang membuat provokasi terhadap bangsa Melayu di negara ini.

Gesaan itu dibuat bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang bimbang akan berlaku suasana kucar-kacir dalam negara.

“Saya berharap kepada pasukan penguat kuasa bahawa setiap perkara yang dibangkitkan oleh mereka yang mengandungi perkataan rasis, macam-macam penghinaan dibuat terhadap kaum Melayu, agama Islam dan raja-raja di sosial media.

“Ini perlu diambil tindakan dan saya meminta agar penguat kuasa dan Ketua Polis Negara sekarang agar bertindak dengan tegas untuk menjaga keamanan dalam negara. Sekiranya tidak, negara ini akan kucar-kacir,” katanya selepas menjadi panelis Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional (UMMAH) di sini hari ini.

Musa turut berkata, golongan minoriti di negara ini dilihat menggunakan taktik reverse discrimination dalam mencerminkan rasa tidak puas hati mereka, kini.

“Dalam dunia sekarang, mereka menggunakan taktik reverse discrimination. Apabila menuntut sesuatu, mereka katakan mereka ditindas oleh pemimpin dan kaum Melayu.

“Padahal tidak ada tetapi apabila orang Melayu bercakap berkaitan hak mereka dan tuntutan mereka yang terletak dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka kata orang Melayu rasis.

“Ini adalah provokasi supaya kita melenting dan katakan bahawa orang Melayu akan menindas mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Musa turut menasihat agar umat Islam di negara ini untuk terus berjaga-jaga dan tidak perlu melenting tanpa sebab.

“Apabila mereka provok kita menggunakan perundangan yang ada,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa kenyataan antaranya Pengasas Gamuda Bhd, Koon Yew Yin yang membuat kenyataan bahawa anggota tentera negara ini hanya “makan dan tidur”.

Juga isu Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 10 Ogos lalu melancarkan petisyen membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular atas alasan ia tidak diterima oleh komuniti bukan Islam dan mendakwa ia bercanggah dengan Artikel 12 (3) Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette