Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Piagam antara UMNO dan Pas yang akan ditandatangani kedua-dua parti itu pada 14 September ini akan menyentuh semua isu melibatkan kepentingan nasional.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, piagam itu tidak hanya menumpukan kepada isu Islam dan Melayu semata-mata.

“Insya-Allah, Piagam UMNO-Pas yang akan ditandatangani selari dengan Piagam Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

“Cuma kita boleh memperkemaskan lagi dan mencantikkannya lagi selepas konvensyen hari ini,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Piagam UMMAH yang diserahkan kepadanya pada konvensyen itu.

Kamaruzaman menambah, kehadiran Pas pada konvensyen itu sebagai pemerhati untuk mendengar isu-isu dibangkitkan panel forum dan peserta.

Jelasnya, konvensyen itu lebih menumpukan kepada isu-isu Islam dan orang Melayu selaras dengan tujuan penganjurannya. – MalaysiaGazette