Kluster NGO Ummah, Habib Suhaimi Syed Hasan berucap pada Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) hari ini mengemukakan lapan cadangan kearah pembentukan piagam UMNO-Pas yang akan diadakan pada 14 September depan.

Menurut Penyelaras Kluster Ulama UMMAH, Habib Suhaimi Syed Hasan, cadangan itu bagi membolehkan kedua-dua parti membina semula jati diri masyarakat terutama bangsa Melayu.

“Kerjasama (antara Pas dan UMNO) mestilah mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi daripada perkembangan politik dan peribadi yang sempit.

“Kerjasama ini mestilah berasaskan kepada persaudaraan Islam untuk mencari redha Allah malah meletakan hak Islam dan umat Islam sebagai hal utama dalam agenda perjuangan ummah,” katanya dalam Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Hotel International Kuala Lumpur hari ini.

Pas dan UMNO bulan lalu memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman (MoU) yang akan diadakan pada 14 September depan.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta Pas dari seluruh negara.

Bagaimanapun, isi kandungan piagam tersebut belum dinyatakan secara sahih kepada umum.

Piagam itu akan ditandatangani di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

Selain itu, UMMAH turut menggariskan kedaulatan Raja-raja Melayu dan akidah ahli sunnah Waljamaah diletakkan antara teras kepada piagam tersebut selain tidak mengenepikan peranan agamawan dan ulama.

“Kerjasama mestilah menjadikan peranan para ulama sebagai murabbi dalam membimbing rohani dan menentukan dasar pembinaan negara.

“Kerjasama mestilah dapat menjaga maslahah ummah terutama kebajikan dan pembelaan kepada institusi keagamaan,” katanya.

Selain itu, konsep Rahmatan Lil Alamin juga harus digerakkan agar rakyat khususnya umat Islam menghayati dan memahami sebelum diangkat menjadi dasar negara.

“Konsep negara yang merupakan rahmatan bagi sekali ummah mestilah dihayati dan difahami dan dilaksanakan sebagai dasar negara kita,” ujar beliau lagi.

Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional hari itu menjemput bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang sebagai panelis. -MalaysiaGazette