Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Seminar Antarabangsa Nilai Keagamaan Dalam Mencegah Ekstremisme Ganas di Dewan Senate, UIAM, Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 OGOS 2019

GOMBAK – Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada menerima permohonan daripada rakyat Malaysia yang berada dalam tahanan di luar negara kerana terlibat dalam kegiatan keganasan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenainya dan sedang meneliti rayuan berkenaan daripada segi faktor keselamatan.

“Memang ada rayuan dibuat oleh beberapa individu yang telah terbabit dan ditahan di sana termasuk isteri, keluarga dan sebagainya.

“Mereka ini dijatuhkan hukuman di sana, kita di sini kena meneliti kes-kes yang terbabit di sana, itu adalah kes-kes yang agak serius yang mempunyai kesan kalau mereka ini dibawa pulang ke Malaysia.

“Apa pun kita belum membuat apa-apa keputusan. Rayuan ada dibuat tapi kita belum putuskan lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Nilai Agama Dalam Membanteras dan Menangani Keganasan Ekstrem di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menjelaskan, rayuan berkenaan membabitkan hampir empat rakyat Malaysia yang sedang menjalani hukuman di luar negara.

“Tak ramai ada satu keluarga saja, orang terbabit mungkin tiga ke empat orang, tak silap saya termasuk anak mereka,” katanya.

Ditanya tentang sejumlah 519 pengganas yang ditahan pihak polis setakat 31 Julai lalu, Muhyiddin berkata, sebahagian daripada mereka merupakan warga tempatan.

“Sebahagiannya rakyat Malaysia dan sebahagiannya warga asing.

“Bila mana mereka terbabit dalam kegiatan yang dianggap sebagai pengganas, yang juga dilihat dalam konteks undang-undang kesalahan,” katanya.

Tambahnya, kesemua 519 pengganas itu ditahan mengguna pakai undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“Kesannya bahaya boleh timbul kalau tidak diambil tindakan, maka mereka itulah yang kita tahan dan kita gunakan kuatkuasa undang-undang sedia ada sama ada POTA ataupun SOSMA.

“Jadi sudah pun ada dalam kuasa pihak polis untuk ambil tindakan,” katanya.

Katanya, kebanyakan daripada 519 pengganas berkenaan bukan sahaja ditahan bahkan sudah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

“Sebahagian mereka ditahan, ada juga dibawa kes ke mahkamah, kalau diputuskan mereka ini ditahan.

“Saya tak dapat memperincikan tapi rekod memang ada,” katanya. – MalaysiaGazette