Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memantau kerja-kerja pembaikan di semua sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat Taufan Lekima.

Taufan tersebut telah melanda beberapa buah negeri di Utara Semenajung Malaysia pada 9 Ogos lalu.

Menurut kenyataan KPM, kerja-kerja pembaikan itu dijangka dapat diselesaikan dengan segera mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Berikutan itu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di Kedah yang turut terjejas akibat taufan tersebut.

Sebelum ini, KPM mengumumkan peruntukan berjumlah RM24 juta akan disalurkan untuk kerja-kerja pembaikan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu yang terjejas akibat Taufan Lekima.

Sehingga kini, sebanyak RM6.8 juta telah disalurkan untuk kerja-kerja pembaikan. – MalaysiaGazette