Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (dua kanan) dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) bergambar bersama pada Jamuan Muhibah Sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Agensi agama Islam di negara ini perlu komited meningkatkan penganjuran program berunsurkan perpaduan dalam rakyat Malaysia.

Jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, ini kerana program seperti itu seiring dengan usaha menjayakan gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’.

“Kita akan terus perhebatkan lagi usaha dan program untuk memupuk semangat perpaduan, kesejahteraan dalam kalangan rakyat. Inilah yang disebut membangun Malaysia Madani.

“Agensi agama termasuk Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) menyokong  penuh gagasan ini dan kita akan perhebatkan lagi program dan usaha penyatuan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di Jamuan Muhibah YADIM Sempena Tahun Baharu Cina.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Jamuan itu dianjurkan dengan kerjasama di antara Persatuan Cina Muslim Malaysia dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Na’im  berkata, asas pembinaan gagasan madani adalah apabila rakyat Malahsia dapat berkumpul dengan aman harmoni dan sejahtera.

“YADIM mengambil pendekatan ini untuk menunjukkan bahawa Islam sebagai satu agama yang menggalakkan keamanan kesejahteraan, membuba harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, bangsa dan agama,” tambahnya.

Pada program hari ini selain jamuan makan, para tetamu juga dihiburkan dengan persembahan taran singa, pemeriksaan perubatan percuma, jualan buku buku terbitan YADIM dan pameran.-MalaysiaGazette