kasthuri
Kasthuri Patto (kiri).

KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto mengumumkan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Batu Kawan yang disandangnya sejak dua penggal lalu.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu dalam partinya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Kasthuri turut menafikan desas-desus beliau digugurkan oleh parti sebaliknya keputusan itu adalah atas kerelaannya.

“Kepimpinan parti telah memujuk saya supaya memikirkan semula keputusan itu namun setelah difikirkan secara mendalam, saya berpegang kepada keputusan yang disokong dan direstui sepenuhnya oleh kepimpinan parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau juga masih bersama DAP dan akan meneruskan usaha serta tugas isu hak asasi manusia antaranya berhubung pemansuhan hukuman mati, menjadikan perkahwinan kanak-kanak satu kesalahan jenayah, keterangkuman jantina, kebebasan sivil dan keadilan sosial untuk semua.

Kasthuri, 43, bertanding kali pertama di kerusi Parlimen Batu Kawan pada PRU-13 dan menang dengan majoriti 25,962 undi.

Beliau menang sekali lagi pada PRU-14 di kerusi yang sama dengan beroleh majoriti lebih besar iaitu sebanyak 33,553 undi. – MalaysiaGazette