kerajaan telah mengambil inisiatif menambah baik sistem gaji khusus bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM dengan memperkenalkan Sistem Saraan Transformatif berkuat kuasa 1 Jan 2013.

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM720 juta bagi pembinaan 11 ibu pejabat dan
6 balai polis baru serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi bakal menyaksikan kehadiran polis (omnipresence) lebih terasa untuk membanteras jenayah serta memberikan keyakinan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan sepatutnya turut menyediakan peruntukan untuk membaiki kemudahan sedia ada termasuk balai dan kuarters polis yang uzur.

Katanya, kerajaan perlu memastikan persekitaran kerja yang baik bukan sahaja untuk anggota polis bertugas tetapi juga bagi keselesaan orang ramai yang berurusan dengan mereka.

Pada masa yang sama, katanya, keluarga mereka sepatutnya mendapat kediaman yang selesa dan difahamkan ada sesetengah anggota polis terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kuarters yang mereka duduki bersama keluarga.

“Secara keseluruhan, saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk mempertingkatkan keselamatan sempadan dan ketenteraman awam dengan memperuntukkan lebih RM14 bilion untuk ATM, hampir RM9 bilion untuk PDRM dan lebih RM900 juta kepada APMM.

“Pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan bakal memperkukuhkan sempadan negara terutamanya di Sabah daripada pencerobohon termasuk oleh kumpulan pengganas antarabangsa seperti IS dan DAESH serta pejuang pemisah negara-negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Lee mengulas intipati Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah kerajaan memperuntukkan RM170 juta untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta RM100 juta bagi meningkatkan mutu sistem komunikasi juga bakal meningkatkan keberkesanan pasukan penguatkuasa tersebut termasuk mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH.

Ia juga, katanya, akan melengkapi penubuhan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej
Melalui Komunikasi sebelum ini.

“Sokongan kewangan sebegini amat diperlukan oleh agensi keselamatan dan penguatkuasa undang-undang kerana mereka perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan aset bagi menghadapi cabaran baru dalam dunia tanpa sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette