COVID-19 bukan sahaja membawa virus tidak nampak yang meragut nyawa manusia, malah sebagai wabak yang sudah diklasifikasikan sebagai pandemik, ia turut memberi pelbagai impak negatif dalam kehidupan komuniti seluruh dunia.

Antara isu kesihatan yang makin berleluasa setelah serangan pandemik ini ialah kesihatan psikologi.

Masalah ini turut dialami oleh para penjaga yang mempunyai anak-anak atau tanggungan orang kelainan upaya (OKU) ketika perintah berkurung dikenakan ketika COVID-19.

Bagi mengatasi masalah psikologi dan mental ibu bapa yang mempunyai anak-anak orang kelainan upaya (OKU) yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini, pujian wajar diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah mewujudkan platform yang cukup mudah diakses dan kurang karenah birokrasi seperti kelaziman.

Ketika menjawab soalan di Dewan Negara, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu bahawa KKM telah bekerjasama dengan MERCY Malaysia untuk mewujudkan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial bagi memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan kaunseling kepada masyarakat termasuklah ibubapa yang mempunyai anak-anak OKU.

Memang nampak begitu mudah, ia sekadar kaedah kaunseling biasa. Namun, cara KKM dan MERCY Malaysia melaksanakannya sedikit berbeza dan ‘up to date’ iaitu dengan cara kaunseling melalui telefon.

Kalau nak diikutkan, ini suatu kaedah baharu dalam pendekatan norma baharu yang sedang direalisasikan pihak kerajaan kepada kita semua selaku rakyat jelata.

Persoalannya, adakah kaedah baharu tanpa sebarang karenah birokrasi ini mampu mendapat kerjasama rakyat? Jawapannya memang mendapat kerjasama ramai.

Menurut Dr Adham, lebih 43,000 panggilan diterima menerusi talian bantuan sokongan psikososial, KKM setakat 1 Disember lepas, membabitkan pelbagai isu berkaitan emosi berikutan tekanan yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

Mungkin pendekatan yang menarik ini perlu diteruskan setelah pandemik hilang, dan perlu diperluaskan lagi sehingga ke bentuk lebih menarik seperti sidang maya atau panggilan video, pendekatan teks melalui WhatsApp dan sebagainya.

Asalkan perkhidmatan kaunseling melalui telefon ini diberikan oleh pasukan professional dalam bidang berkenaan, seperti yang telah dilakukan oleh KKM dan MERCY Malaysia iaitu melibatkan pegawai psikologi kaunseling terlatih termasuklah bantuan Psychological First Aid untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dalam kita berhadapan dengan cabaran pandemik dan revolusi industri 4.0 (IR4.0) ini, kaedah lama harus dilakukan transformasi, asalkan impak atau hasil yang diperoleh tetap sama atau lebih baik ketika di zaman bukan pandemik dan sebelum IR4.0 dahulu.

Kita amat yakin dengan kerja keras Dr Adham Baba dan pasukannya di KKM, serta bantuan demi bantuan dari pelbagai pihak seperti MERCY Malaysia, sektor kesihatan di negara ini akan mengalami sebuah anjakan paradigma yang releven untuk masa hadapan dan amalan norma baharu.

Oleh,

Ibrahim Syukri, Putrajaya.

*Ibrahim Syukri adalah pembaca Malaysia Gazette dan artikel ini adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.