DSP Ibrahim Husin

KUALA LANGAT – Suasana tenang di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Pantai Baru Morib bertukar tegang secara tiba-tiba selepas sepasukan anggota penguatkuasa mengambil posisi dengan aset dan senjata.

Ia selepas markas itu menerima maklumat sekitar jam 4 petang mengenai pencerobohan dan pendaratan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negara dengan menaiki bot di kawasan Morib sebentar tadi.

Serentak itu, pasukan dan aset Nasional Task Force mengadakan Operasi Benteng di perairan Selangor bersama 20 anggota terdiri daripada polis, Imigresen, Maritim dan Rela.

Mereka turun ke lokasi hutan tebal berhampiran untuk mengesan dan menangkap PATI yang disyaki bersembunyi lebih setengah jam di kawasan tersebut.

Mereka mengesan pergerakan pelik di sebalik semak sebelum berjaya menjejaki sekumpulan lima individu disyaki PATI dari Indonesia bersembunyi menunggu waktu sesuai untuk memasiki negara ini.

PATI dikepung dan ditahan penguatkuasa lalu dibawa keluar ke markas berhampiran.

Sejumlah telefon bimbit yang masih aktif yang digunakan untuk berhubung dengan tekong darat di sini dirampas.

Bercakap kepada pemberita, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Deputi Suprintendan Ibrahim Husin berkata, operasi tangkapan PATI sebentar tadi adalah sketsa lakonan semula pasukan Op Benteng Khas untuk menunjukkan realiti sebenar yang dihadapi anggotanya mengendalikan operasi pencerobohan PATI di perairan negara.

Katanya, lakonan itu diaturkan semula bagi  menguji kesiapsiagaan serta kemampuan penguatkuasa.

“Perairan Selangor menjadi lokasi lubuk dan kawasan panas PATI yang sentiasa diceroboh masuk ke dalam negara dengan menaiki bot.

“Mereka membayar antara RM1,000 hingga RM2,000 setiap kepala kepada tekong laut dari negara asal dan juga tekong darat yang menunggu untuk mengambil mereka di sini.

“Kita masih menggunakan prosedur tangkapan dan Covid-19 yang ditetapkan bagi mengelak PATI menjadi pembawa Covid-19 kepada rakyat di sini.” katanya dalam sidang media selepas Op Benteng Khas yang berakhir pada hari ini.

Dalam pada itu, Penolong Penguasa Imigresen Selangor, T.Sivakumar berkata, pihaknya menerima PATI dan akan tangkap semula mereka bawah Akta Imigresen dan disiasat dan akan direman 14 hari di bawah 15(1) Akta Imigresen 1959/63.

PATI ini akan dituduh di mahkamah khas di Semenyih dan jika didapati bersalah tidak memiliki dokumen sah, mereka akan dihantar ke penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Untuk menangani situasi Covid-19 dalam penjara, pendakwaan dijalankan dua kali sebulan iaitu pada awal dan pertengahan setiap bulan.

“Selepas selesai menjalani hukuman, mereka akan diserahkan semula kepada Jabatan Imigresen untuk diletakkan di depot-depot tahanan sementara di seluruh negara sementara menunggu masa pengusiran ke negara asal,” ujarnya.- MalaysiaGazette