Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) mengemukakan cadangan beberapa penambahbaikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berhubung dasar dan amalan dalam pengajian itu.

Cadangan yang dikemukakan dalam bentuk memorandum itu memfokuskan kepada empat cabaran utama pendidikan tinggi negara berasaskan sintesis daripada dapatan kajian empirikal kumpulan penyelidik.

Menurut Pengerusi PenDaPaT, Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman (UKM), empat cabaran asas itu yang perlu diberi perhatian oleh Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Kepemimpinan IPT, Pengantarabangsaan, Sumbangan universiti kepada negara, masyarakat dan pengekalan ekosistem serta Budaya akademik tulen berasaskan kecemerlangan.

“Perhatian perlu diberikan kepada empat cabaran asas ini agar sektor pendidikan tinggi negara atau ekosistem IPT negara bingkas bergerak ke hadapan, dan dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.

“Kami yakin dengan kemampuan Mohamed Khaled dalam menggalas amanah besar memimpin sektor pendidikan tinggi negara berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini.

“Beliau diyakini dapat membantu menentukan dasar dan strategi terbaik pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran pasca pandemik dengan dibantu timbalannya, Datuk Mohd Yusof Apdal,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Norzaini Azman

Katanya, sektor pendidikan tinggi berhadapan dengan situasi sukar dalam pasca pandemik Covid-19 yang memerlukan pendekatan berbeza, terfokus dan bertransformatif.

Justeru, kata beliau, PenDaPaT dengan kepakaran ilmuan dari USM, UPM dan beberapa universiti lagi menghasilkan memorandum itu yang mencakupi cabaran, isu dan cadangan untuk tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dr. Norzaini menghuraikan empat asas yang melibatkan Kepimpinan IPT yang menjadi elemen terpenting dalam konteks universiti dan usaha berterusan perlu dilakukan agar dapat dipandu seiring dengan visi, misi dan matlamat penubuhannya.

Cadangan kedua iaitu pengantarabangsaan dilihat penting kepada IPT, yang menyaksikan pasca Covid-19 sudah berubah kerana teknologi telah membolehkan pembelajaran dan pengajaran secara atas talian dan remote, di samping pengalaman semasa pandemik mempengaruhi mobiliti fizikal pelajar.

Seterusnya, cabaran sumbangan universiti untuk negara dan masyarakat, yang mahu kementerian mengambil kira kepentingan awam yang dapat memenuhi keperluan negara dan masyarakat.

Katanya, IPT yang dibiayai oleh kerajaan dan dana awam perlu meletakkan fokus utama iaitu bagaimana universiti boleh memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Cabaran terakhir ialah pengekalan ekosistem dan budaya akademik tulen berasaskan kecemerlangan.

“Ekosistem IPT mengambarkan sistem yang kompleks berkaitan fungsi dan kepentingan setiap pihak iaitu pelajar, ahli akademik, sistem sokongan serta faktor persekitaran seperti dasar, infrastruktur yang mampu mengurus dan memastikan kelangsungan IPT.

“Setiap pihak dan faktor persekitaran saling memerlukan dan perlu berfungsi dgn berkesan untuk mencapai kecemerlangan.

“Justeru, IPT berhadapan dengan isu berkaitan pemilihan dan pelantikan akademik pakar yang berkeperibadian unggul, lantikan dekan dan pengarah berwibawa, keseimbangan antara kualiti dan kuantiti, kemerosotan profesion akademik, kebejatan nilai teras akademik, isu etika dan salah guna kuasa dan budaya politik yang semakin menular dalam dunia akademik,” katanya.

Lebih memburukkan lagi keadaan, ujar beliau, penekanan terhadap retorik melalui slogan dan battle cry atau aktiviti hiburan berbanding aspek substantif yang berkaitan dengan budaya dan kecemerlangan akademik telah menenggelamkan fokus utama kementerian dan IPT. – MalaysiaGazette