Azhar (tengah) membuat larian bertenaga untuk menghadiahkan pingat emas buat USIM dalam acara larian 1500 meter di Sukan Asasi Malaysia.

 

NILAI – Atlet dari Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak pulang tangan kosong dari kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2023 yang berlangsung baru-baru ini dengan menghadiahkan satu pingat emas dan dua pingat gangsa untuk universiti.

Turut membanggakan, Tamhidi USIM berjaya menempatkan diri di kedudukan enam pasukan terbaik keseluruhan dari 14 buah pusat asasi dan matrikulasi yang menyertai SAM kali ini.

Diadakan bertempat di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang Pahang, sebanyak 12 acara dipertandingkan dalam kejohanan yang memasuki tahun kelima penganjurannya.

Pasukan bola jaring USIM menyumbangkan pingat gangsa di Sukan Asasi Malaysia.

Menghantar 118 orang atlet dan 22 pegawai pengiring, USIM memburu pingat dalam sembilan acara sukan antaranya futsal, bola jaring, bola tampar, badmintan, e-sport dan olahraga.

Menurut Ketua Kontinjen Tamhidi, Aiza Azrin Mohd Zain, acara olahraga menepati sasaran awal untuk menyumbang pingat emas kepada USIM.

“Alhamdulillah, syukur dengan pencapaian kontigen Pusat Tamhidi USIM dalam kejohanan kali ini dengan membawa pulang tiga pingat. Kita raih emas tunggal dalam acara larian 1500 meter lelaki manakala dua pingat gangsa diraih melalui acara bola jaring dan ping-pong.

“Terima kasih kepada pengurusan universiti, Pusat Tamhidi, Pusat Sukan dan semua pihak yang terlibat dalam mempersiapkan atlet kita. Melalui kejohanan ini, Pusat Tamhidi secara langsung membantu universiti mengenalpasti bakat-bakat muda atau ‘ubi muda’ lebih awal untuk digilap dan seterusnya berpotensi diserap sebagai atlet utama universiti,” ujarnya.

Kontinjen Pusat Tamhidi capai sasaran pingat di Sukan Asasi Malaysia yang berlangsung di Pusat Asasi UIAM Gambang, Pahang baru-baru ini.

Sementara itu, penyumbang pingat emas untuk USIM, Ahmad Azhar Ramli, 18, pelajar dari program Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi menyatakan kehadiran ibu dan kakak yang datang dari jauh dari Johor ke Gambang, Pahang menjadi pembakar semangat kepadanya untuk membuat larian bertenaga di peringkat akhir.

Mencatat masa 4 minit 50 saat, Azhar menewaskan pelari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat pingat perak dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merangkul pingat gangsa.

Menjadi wadah untuk membentuk interaksi dan kerjasama dalam kalangan pelajar asasi universiti awam dan matrikulasi, perasmian penutup Sukan Asasi Malaysia berlangsung meriah dengan disempurnakan oleh Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Tuan rumah, UIAM dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungatan 14 pingat emas, empat perak dan dua gangsa. – MalaysiaGazette