Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan (kanan) diiringi Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali hadir pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di IPK Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Bukit Aman menubuhkan 32 Pasukan Cantas Khas untuk mematahkan jenayah gengsterisme sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula esok sehingga hari pengundian 20 November ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pasukan itu terdiri daripada 238 pegawai dan anggota, termasuk 128 daripada Bukit Aman dan 110 dibantu dari polis kontinjen negeri seluruh negara.

“Pasukan ini akan mencantas sehabis-habisnya mana-mana pihak sama ada individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didapati menggunakan elemen-elemen gengsterisme pada PRN Melaka.

“Walaupun berdasarkan maklumat setakat ini, tiada unsur-unsur sedemikian diperolehi, pihak polis tidak akan mengambil mudah suasana tenang ini sehinggalah selepas proses pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Op PRN DUN Melaka 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan (tengah) bercakap pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri Melaka di IPK Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut Abd Jalil berkata, pembentukan pasukan itu diyakini mampu membanteras elemen jenayah gengsterisme sebagaimana digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang, Johor pada 2011.

“Pada waktu itu, kita dapati pasukan ini amat berkesan kerana kita dapat cantas lebih awal elemen-elemen gengsterisme dalam suasana pilihan raya ketika itu.

“Setiap pasukan ini, akan ada satu pegawai dan tiga atau empat anggota yang bergerak dalam satu kenderaan melakukan pemantauan selama 24 jam di lokasi kempen secara rawak.

“Pasukan ini yang turut terdiri daripada detektif dari Bukit Aman berpakaian preman atau beruniform untuk memastikan keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette