Gambar hiasan

RABAT – Polis Maghribi menahan empat suspek berusia antara 20 dan 30 tahun kerana dengan sengaja memulakan kebakaran hutan besar di utara negara ini.

Kebakaran itu telah memusnahkan lebih 90 hektar hutan Kodiat Tifour di wilayah M’diq-Fnideq, ketika anggota bomba berusaha untuk menghalang api daripada merebak ke kawasan berpenduduk dengan bantuan pesawat khusus Canadair, lapor agensi berita rasmi MAP Selasa .

Semasa percubaan dalam melakukan operasi menyelamat pada Isnin, tiga anggota bomba terbunuh dan dua lagi cedera parah apabila kenderaan mereka terjunam ke dalam gaung, menurut MAP.

Pada bulan Julai, anggota bomba bergelut selama beberapa hari sebelum berjaya mengawal kebakaran di hutan Larache, Ouezzane, Tetouan dan Taza di utara Maghribi, ketika suhu meningkat sehingga 45 darjah Celsius di banyak bahagian di negara Afrika Utara itu.

Menurut Kementerian Pertanian Maghribi, kebakaran pada bulan Julai memusnahkan lebih 10,500 hektar hutan.

Sejak Julai, kerajaan Maghribi telah membelanjakan sejumlah 350 juta dirham (AS$33.6 juta) dalam bentuk bantuan kecemasan untuk membantu mangsa kebakaran hutan dan mengurangkan kesannya terhadap pertanian. – Xinhua