Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) menerima laporan pelan pelaksanaan keseluruhan 5G dari Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak (dua kiri) pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020 di The Westin Langkawi Resort dan Spa, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 2020 JANUARI 2020

LANGKAWI – Pelaksanaan teknologi 5G boleh menyumbang hampir RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mampu mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

Menteri Komunikasi dan MultiMedia, Gobind Singh Deo berkata, banyak perkhidmatan inovatif akan muncul – daripada realiti maya yang canggih, kenderaan berautonomi, sehinggalah kepada pembedahan perubatan jarak jauh.

5G, katanya akan menawarkan komunikasi berlatensi rendah yang sangat dipercayai, dengan kecekapan tenaga yang lebih baik serta meningkatkan privasi dan keselamatan.

Menurutnya, pembangunan industri digital yang rancak dan mampan adalah kritikal untuk pertumbuhan ekonomi negara berpendapatan tinggi serta meningkatkan kuasa beli rakyat demi masa hadapan yang lebih baik.

Ia juga memberi jaminan kekayaan negara dinikmati oleh semua lapisan masyarakat selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Menurutnya, apabila pelbagai industri mengadaptasi 5G, ia akan mempengaruhi industri lain untuk turut serta, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan KDNK, selain membolehkan pengeluar-pengeluar negara ini menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Berikutan itu, saya menggalakkan pemain industri mengenal pasti cara dan inovatif baru untuk membina dan berkongsi infrastruktur secara kolektif.

“Pendekatan ini bertujuan untuk menurunkan modal perbelanjaan dengan meminimumkan kos dan menangani duplikasi infrastruktur 5G boleh menelan belanja RM7 hingga RM8 bilion dalam jangka sederhana, sebagai tambahan kepada pelaburan dalam 4G dan LTE,” kantanya ketika merasmikan Persidangan 5G Malaysia di sini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berucap pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020 di The Westin Langkawi Resort dan Spa, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 2020 JANUARI 2020

Oleh sebab itu, ia adalah kritikal untuk bekerjasama dengan pelbagai pemegang kepentingan daripada peringkat yang terdiri daripada pihak berkuasa, kerajaan tempatan kepada agensi-agensi yang relevan dan kementerian-kementerian yang memberi jaminan kejayaan 5G.

Ia membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM101 juta, merangkumi separuh daripada jumlah keseluruhan 72 kes-kes kegunaan di enam buah negeri iaitu Kedah, Penang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Antara kes-kes kegunaan yang ditunjukkan di Langkawi termasuklah Pertanian Pintar, Lapangan Terbang Pintar, Bandar Pintar, Penyelesaian Lampu Trafik Pintar, Pindahan Data Perubatan Dalam Masa Nyata Pemantauan Video 5G Langsung, Konsultasi Jarak Jauh dan Pelancongan
Maya.

Menurutnya, Projek Demonstrasi 5G di Langkawi adalah penting kerana ia mempunyai 35 kes-kes kegunaan melibatkan enam vertikal di 25 lokasi langsung 5G yang beroperasi secara aktif bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Tambahannya pula, terdapat tiga kes kegunaan di Pelabuhan Langkawi iaitu Kawalan Sempadan Digital, Penjejakan Pintar Untuk Kapal serta Geo-fencing dan Perimeter Pintar, juga adalah antara tarikan utama Projek Demonstrasi 5G di pulau tersebut.

“Kemajuan dalam melaksanakan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) ini juga mentakrifkan kesediaan ekonomi digital Malaysia, terutamanya industri serta perusahaan kecil dan sederhana, untuk menghadapi revolusi perindustrian keempat.

Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia selama dua hari bermula semalam turut menyaksikan Pengerusinya MCMC, AlIshsal Ishak menyerahkan Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas 5G mengenai Pelaksanaan 5G di Malaysia kepada Gobind.

Laporan akhir itu, antara lain menggariskan prasyarat pelaksanaan 5G seperti keperluan-keperluan infrastruktur, penyelesaian pengurusan spektrum, dan hal-hal kawal selia meliputi kerjasama dengan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta menangani kebimbangan berhubung isu sekuriti, keselamatan dan kesihatan. – MalaysiaGazette