Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sempena sambutan Hari Krismas bermula 25 hingga 29 Disember ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2021 selama empat hari bermula 13 hingga 16 Mei ini.

Unit Media dan Komunikasi Korporat AADK berkata, sesi lawatan ini bagi memberi ruang dan peluang kepada keluarga serta klien meraikan Syawal bersama-sama.

“Jadi dengan adanya sesi lawatan ini ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara AADK dengan masyarakat.

“Sesi lawatan ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP),” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut AADK, terdapat beberapa ketetapan yang perlu dipatuhi dalam sesi lawatan keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ini.

“Antaranya, kehadiran keluarga adalah secara janji temu awal melalui Pegawai Pemulihan yang boleh dibuat menerusi pangggilan telefon; Mesej Pesanan Ringkas (SMS) / Pesanan WhatsApp, surat atau e-mel dan pihak PUSPEN akan menetapkan dan memaklumkan kepada keluarga masing-masing berhubung tarikh serta sesi waktu perjumpaan selepas janji temu dibuat.

“Setiap satu sesi lawatan hanya dibenarkan selama 30 minit dan hanya 25 individu sahaja dibenarkan bagi setiap satu sesi lawatan, kebenaran lawatan hanya daripada keluarga terdekat sahaja (contoh ibu/bapa/kakak/adik/isteri) yang telah disahkan oleh Pegawai Pemulihan,” katanya.

Selain itu, AADK berkata, klien hanya boleh menerima lawatan daripada dua orang ahli keluarga sahaja.

“Kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun adalah tidak dibenarkan untuk membuat lawatan, sesi lawatan akan berlangsung di ruang terbuka bagi tujuan kawalan keselamatan, penjarakan fizikal dan pemantauan sesi.

“Keluarga yang hadir mesti mematuhi SOP keselamatan PUSPEN serta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan untuk maklumat lanjut boleh hubungi PUSPEN berkaitan atau layari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my,” katanya. -MalaysiaGazette