Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

SIBU – Satu mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diadakan pada Khamis ini bagi membincangkan langkah-langkah untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak di bawah MA63.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pada 3 Januari 2019 nanti Ketua Menteri akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai MA63 untuk membincangkan bagaimana kita boleh bekerja keras untuk mendapatkan semula hak-hak Sarawak,” katanya tanpa memperincikan secara lebih lanjut.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ambang 2019 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini malam tadi.

Selain menteri-menteri kerajaan negeri Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), jawatankuasa yang ditubuhkan pada 6 Nov lepas itu turut dianggotai oleh dua anggota mewakili parti Pakatan Harapan (PH) Sarawak iaitu See Chee How (ADUN Batu Lintang) dan Irene Chang (ADUN Bukit Assek).

Wong berkata, Sarawak sedar PH sebaik sahaja mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu berjanji untuk mengembalikan hak-hak Sarawak dan mengiktiraf Sarawak merupakan satu daripada komponen Persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu katanya, negeri ini melahirkan harapan supaya kerajaan PH menunaikan janji-janji mereka berhubung hak-hak di bawah MA63.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, Sarawak turut menerima kesan daripada keadaan kemelesetan ekonomi masa kini dan ia dijangka berlanjutan sehingga tahun 2020.

“Sekarang industri perkayuan, pengeluaran produk perkayuan mencatatkan penurunan setiap tahun. Pada tahun-tahun sebelum ini kutipan royalti sumber-sumber perkayuan adalah sekitar RM800 juta.

“Tetapi sekarang ia sudah berkurangan 50 peratus, sekarang kita hanya boleh kutip kira-kira RM400 juta malah kurang daripada itu,” jelasnya.

Turut mengharungi kesukaran akibat keadaan ekonomi itu ialah industri minyak sawit, pembuatan kapal dan perusahaan kecil dan sederhana (SME). – MalaysiaGazette