Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Rakan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Perikatan Nasional (PN) perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Presiden Pas itu daripada mengalami masalah psikologi yang lebih kronik.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed, Ahli Parlimen Marang itu mengalami masalah kemurungan politik melampau sebab masih lagi merapu, meroyan dan sibuk campuri urusan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Dia ni masih tak berhenti-henti bercakap, macam masih tak boleh terima takdir Allah SWT. Malah, seperti biasa dia cukup famous dengan siri fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja.

“Bila orang buat salah tapi bila dia buat, terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuk yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepadanya dan Pas.

“Oleh itu, rakan-rakan Abdul Hadi dalam PN perlu lakukan sesuatu supaya masalah psikologi yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Marang ini tidak berlarutan dan jadi lebih kronik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Nur Jazlan, rakan dalam PN perlu sedarkan Abdul Hadi supaya banyak mengucap dan terima hakikat gabungan mereka tidak dapat menjadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi.

Beliau juga bimbang bekas Duta Khas ke Timur Tengah itu semakin hilang kawalan untuk berfikir secara waras dan akan terus merepek sampai menjejaskan imejnya sebagai pak lebai.

“Baru saja tiga hari lepas Abdul Hadi keluarkan fatwa baru. Sogok duit kepada pengundi tak dikira rasuah, sebaliknya kalau ikutkan Hukum Feqah Haji Hadi, ia dianggap sebagai sedekah. Beliau menghalalkan wang rasuah undi untuk beli undi, bukan satu dosa besar.

“Abdul Hadi juga keluarkan fatwa baru-baru ini selepas BN failkan tiga petisyen mencabar keputusan PRU15 di tiga Parlimen di Terengganu termasuk Parlimen Marang yang dimenanginya dengan cara rasuah pengundi.

“Dia jadi panas bontot dan tak senang duduk kerana dia tahu bala besar akan menimpa dirinya. Tak mustahil dia pula akan jadi kluster mahkamah seperti yang selalu tuduh pemimpin UMNO,” katanya.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor itu juga mengimbau kerjasama Pas dengan DAP lebih 15 tahun lalu, yang mana ketika itu Abdul Hadi memuji parti cauvinis itu.

“Ketika itu pak lebai kata, DAP parti tak rasis, DAP tak tolak Islam, PKR parti terbaik pesaing UMNO dan macam-macam lagi kata-kata pujian ketika asyik bercinta dan kahwin.

“Selepas bercerai dengan DAP dan PKR, pak lebai terus memburuk-burukkan bekas pasangan mereka itu dengan macam-macam tuduhan.

“Begitu juga dengan UMNO. Selepas PRU14, Abdul Hadi puji melambung pemimpin UMNO sebab nak bergabung tubuhkan Muafakat Nasional (MN). Malah Hadi juga pernah beri pujian kepada Presiden UMNO, (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamid,” ujar beliau.

Namun, katanya, apabila hubungan Pas dan UMNO gagal diteruskan dalam MN, parti itu terus bertukar perwatakan, malah Abdul Hadi sendiri pusing 180 darjah dan mula mencaci serta mencerca UMNO serta pemimpinnya.

“Sudah-sudahlah Hadi… Move on la. Rakyat pun sudah meluat dengar kamu duduk meratib pasal konsep pembentukan Kerajan Perpaduan. Dah nak masuk tiga bulan dah Malaysia sudah ada kerajaan yang stabil dan kukuh, tak usahlah kamu nak jadi batu api.

“Buatlah kerja sebagai pembangkang dengan baik dan cuba bantu kerajaan untuk bagi idea-idea lebih baik daripada asyik duduk berpolitik 24 jam.

“Saya malas nak komen panjang pasal Hadi ini sebab saya nampak dia sudah makin nyanyuk dan lupa banyak perkara yang pernah dia cakap atau buat. Biarlah Hadi terjun dengan pukat-pukatnya dan UMNO terus tumpukan kepada perjuangan untuk memulihkan parti serta membela rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette