KUALA LUMPUR – Hari ini, 12 Disember merupakan hari kelahiran pelakon nombor satu India Selatan, Rajinikanth yang juga genap berusia 68 tahun.

Apa yang lebih bermakna pelakon yang terkenal dengan jolokan ‘Superstar’ sehingga hari ini amat dekat dengan Malaysia dan rakyat negara ini.

Secara umum masyarakat dunia khasnya rakyat Malaysia teruja dan terkejut apabila Rajinikanth menghabiskan masa lebih 50 hari tinggal di negara ini.

Ini kerana jemputan serta usaha oleh pemilik syarikat terkenal, Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dashtigeer untuk menghabiskan penggambaran filem Kabali yang hampir 80 peratus pembikinan dilakukan di Malaysia.

Pelakon tersohor dunia itu kebiasaannya tidak akan berada di mana-mana negara  lebih daripada dua minggu bagi pembikinan filem sebaliknya lebih suka berada di negaranya sendiri selama ini.

Abdul Malik terus mencipta fenomena apabila Superstar Rajinikanth menerima jemputan beliau untuk merasmikan bangunan ‘Wisma Malik’ pada ketika penggambaran filem Kabali tahun 2016.

Perasmian itu mendapat liputan meluas dunia kerana Rajinikanth tidak pernah menerima apa-apa jemputan sebelum ini untuk melakukan acara pembukaan, pelancaran, perasmian kedai, bangunan atau jauh sekali condong kepada mana-mana parti politik.

Malah, Perdana Menteri India, Narendra Modi sendiri pernah bertemu dengan Rajinikanth meminta beliau berbuat demikian tetapi beliau menolaknya.

Hanya Abdul Malik dan Malaysia menjadi sebahagian daripada minat dan fokus Rajinikanth untuk terus berada di sini, kehadiran beliau juga telah berjaya mengharumkan nama negara ke pelosok dunia menjadi sebutan sehingga hari ini.

 

Latha dan Abdul Malik

Hubungan Abdul Malik yang merupakan anak jati Kampung Datuk Keramat , Kuala Lumpur dengan Rajinikanth terus utuh dan akrab.

Baru-baru ini, Abdul Malik satu-satunya ahli korporat yang dijemput untuk menghadiri majlis amal Yayasan Shree Dayaa yang merupakan inisiatif isteri Rajinikanth, Latha.

Yayasan Shree Dayaa telah melakukan sebuah majlis kutipan amal ‘Peace For Children’ di Thiruvanmaiyur, Chennai India yang turut dihadiri oleh nama-nama terkenal dunia berlatarbelakangkan korporat, politik serta pelakon.

Majlis amal Latha itu bagi membantu jutaan kanak-kanak bernasib malang terutamanya yatim di seluruh negara itu yang memiliki kadar populasi kedua terbanyak dunia.

Abdul Malik yang bercakap dengan MalaysiaGazette memberitahu, beliau tersentuh dan hampir mengalirkan airmata apabila melihat sendiri keadaan sebenar sehingga majlis amal seumpama itu dianjurkan.

Majlis Amal Shree Dhayaa

“Saya diberi peluang berucap pada majlis gilang gemilang itu, tujuannya sama seperti majlis amal lain, menghulur tangan menyumbang golongan kurang bernasib baik. Sudah tentu saya teruja dan lebih dari terbuka untuk melakukan kebajikan bukan sahaja dalam negara sebaliknya di mana-mana.

“Apa yang sangat menyentuh hati, terlalu ramai golongan kanak-kanak yang sepatutnya menjadi pelapis generasi akan datang ini gagal mendapat pembelaan berikutan populasi sangat banyak tetapi dengan adanya insan berhati mulia seperti Latha dan Rajinikanth, sinar harapan itu masih ada.

“Saya sangat gembira diberi peluang sebegini apatah lagi yang menjemput saya juga bukanlah dalam kalangan calang calang orangnya. Saya gembira kerana bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi kerana nama Malaysia juga menjadi sebutan,” ujarnya. –MalaysiaGazette