Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Wahid Omar berbesar hati menyerahkan tugasnya kepada Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dalam keadaan kedudukan kewangannya yang kukuh dan reputasi kekal sebagai sebuah institusi nasional yang berintegriti.

Tambahnya, persaraannya itu adalah untuk membolehkan suatu peralihan kepimpinan Lembaga Pengarah PNB dengan lancar dan teratur bagi memastikan urusan pelaburan dan operasi Kumpulan PNB tidak terjejas.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Zeti, Wahid berkata, pelantikan bekas Gabenor Bank Negara itu adalah kesinambungan tradisi kepimpinan PNB dalam kalangan mereka yang ternama dan mempunyai reputasi integriti dan kebolehan yang tinggi bermula daripada Tun Ismail Ali diikuti oleh Tun Ahmad Sarji dan seterusnya beliau.

“Saya percaya Tan Sri Zeti dan ahli-ahli Lembaga Pengarah serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad dan barisan pengurusan Kumpulan PNB akan dapat terus menerajui Kumpulan PNB mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, selepas 17 tahun menjalankan khidmat kepada negara beliau mengambil peluang ini untuk berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau yang terkenal dengan sebagai pakar pemulihan dan reformasi korporat pernah berkhidmat dengan Kumpulan UEM-Renong pada 2001-2004, diikuti Telekom Malaysia (2004-2008) dan Maybank (2008-2013) sebelum dilantik sebagai Senator dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (2013-2016) dan PNB (2016-2018).- MalaysiaGazette