Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk Nadzim Johan bersama Pengarah Syarikat Abu Johan, Abu Johan Aboo Backer (dua kanan) dan isterinya Nora Ismail (kanan) pada sidang media mengenai Kontraktor Mangsa Penyelewengan di Ibu Pejabat PPIM, Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. pada 17 APRIL 2019. Gambar arkib

KUALA LUMPUR – Pengarah sebuah syarikat, Abu Johan Aboo Backer menarik balik dakwaan kegagalan anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) melunaskan bayaran sebanyak  RM4 juta bagi projek pembangunan fasa satu di Felda Chuping, Perlis.

Abu Johan mengakui semua tuduhannya adalah fitnah.

Berikutan itu, beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada FGV kerana dakwaannya telah mengakibatkan nama baik syarikat itu terjejas.

“Saya menerima dan mengakui bahawa pernyataan-pernyataan yang telah dinyatakan oleh saya adalah bersifat fitnah dan tidak benar, termasuk jumlah RM4 juta yang kononnya terhutang kepada saya.

“Saya dengan ikhlasnya menyesal terhadap kerosakan yang ketara, kesusahan dan rasa malu yang diakibatkan kepada nama baik Kumpulan FGV dan kakitangan yang disebabkan oleh pernyataan-pernyataan tersebut.

“Saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf secara ikhlas dan menyatakan kekesalan saya kerana membuat pernyataan-pernyataan tersebut dan tidak akan mengulangi pernyataan-pernyataan tersebut,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman web FGV.

Jelas Abu Johan, syarikatnya telah dibayar sepenuhnya untuk jumlah yang terhutang bagi projek tersebut.

Untuk rekod, Abu Johan sebelum ini mengadakan sidang media bersama-sama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Dalam sidang media itu, dia mengaitkan FGV Holdings Berhad, Felda Properties Sdn Bhd, Felda Engineering Sdn Bhd, Allied Engineering Consultancy Services Sdn Bhd dan pengurusan, kakitangan dan pakar perunding syarikat itu dalam isu projek melibatkan 158 unit rumah mampu milik, 66 unit rumah kos sederhana, 17 rumah kedai dan kemudahan infrastruktur dengan tender RM23 juta yang dijalankan syarikatnya sebagai subkontraktor.

Ketika sidang media itu, beliau berkata, kontrak syarikatnya ditamatkan pada Julai 2018 selepas didakwa gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.- MalaysiaGazette

Kontraktor tuntut Felda bayar baki RM4 juta