Pasukan AC Milan. foto Agensi

LONDON – Kelab gergasi Itali, AC Milan menerima padah apabila digantung daripada beraksi di pentas Liga Europa musim depan selepas di dapati bersalah melanggar peraturan Fair Play Kewangan (FFP).

Milan mara ke kejohanan tersebut selepas menamatkan saingan Serie A di tangga keenam.

Skyspors melaporkan, kelab itu dalam satu kenyataan berkata, mereka akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara untuk Sukan.

Sebelum keputusan itu, Milan telah memuatnaik video di Twitter dengan harapan keputusan yang adil berdasarkan fakta dan peraturan sama rata untuk semua dari UEFA.

Milan dikatakan bersedia menerima hukuman atas kesalahan lalu namun mengharapkan keadilan dalam sukan.

“Kelab telah mengarahkan bahagian undang-undang untuk merayu keputusan bagi mendapatkan semakan segera terhadap perkara itu,” kata kenyataan itu.

Kelab tersebut dimiliki bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi dari 1986 sebelum dijual kepada konsortium China bernilai 648 juta pound sterling pada April tahun lalu

Pada musim panas lalu, Milan membeli sekitar 200 juta pound apabila membawa masuk Leonardo Bonucci dari Juventus dan pemain FC Porto, Andre Silva. – MalaysiaGazette