KUALA LUMPUR – Dua penyanyi, Adira Suhaimi dan Hafiz Suip kembali bergandingan dalam duet sebuah lagu yang bertajuk Takdir Tercipta.

Lagu yang dilancarkan hari ini, merupakan ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali.

Mengaku teruja kembali berganding dengan Hafiz, Adira menyifatkan penyanyi lelaki itu sebagai komited dan profesional.

“Kembali merakamkan lagu dengan Hafiz adalah pengalaman yang menyeronokkan. Sudah lama kami tidak ditemukan dalam lagu.

“Bagi saya, Hafiz sangat komited dan profesional dengan kerjanya. Kelunakan suara dan kemahiran seni vokalnya menjadi tunjang kekuatan, sekali gus memudahkan kami bekerjasama.

“Saya harap, lagu ini juga mendapat sokongan tidak berbelah bahagi peminat dan diingati seperti Ombak Rindu yang pernah mencetus fenomena sedikit masa dahulu,” katanya.

Takdir Tercipta turut terpilih menjadi lagu tema bagi drama, Lelakimu Yang Dulu dibintangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang bakal disiarkan di Tv3 menerusi slot Akasia 19 September ini.

Hafiz dalam pada itu berharap lagu duet mereka berdua akan menamatkan penantian dan kerinduan peminat.

Untuk rekod, kedua-dua penyanyi itu pernah berduet lagu Ombak Rindu, Kisah Cinta Kita dan Pujaan Hati.

“Secara peribadi, saya memang suka dengan karya ciptaan mereka. Saya berharap, lagu duet ini akan kembali menghantui persada muzik seperti sentuhan sebelum ini,” katanya.-MalaysiaGazette