Bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini, menjelaskan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang bernilai RM3 bilion bukan disebabkan ketidakcekapan mengurus atau akibat berjoli.
Adnan Yaakob

KUALA LUMPUR – Ahmad Ibrahim Kulliyah Of Law (AIKOL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diminta menjelaskan berhubung layanan istimewa yang didakwa diberikan kepada Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bekas Menteri Besar Pahang itu dikatakan mendapat sesi khas untuk hadir ke kelas yang melibatkan beberapa orang pensyarah sahaja, sedangkan beliau bukan penuntut tahun akhir.

Ainina Sofia Adnan dari Nadi Mahasiswa Malaysia telah membangkitkan isu ini melalui Facebook milik beliau.

Perkara itu dipersoalkan beliau dan rakan-rakannya selepas mendakwa mendapat laporan berhubung perkara tersebut.

“Aku dan kawan-kawan mendapat laporan bahawa, berlaku ketidakadilan dalam sistem akademik terutamanya di AIKOL(Ahmad Ibrahim Kulliyah Of Laws) Universiti Islam Antarabangsa(UIA). Kami telah menerima bukti-bukti yang jelas mengenai sikap pilih kasih ‘double standard’ yang dilakukan oleh pihak kuliah undang-undang.

“Atas bukti-bukti yang jelas dan konkrit ini kami meminta pihak kuliah bertanggungjawab dalam soal integriti. Mengapakah hal ini boleh berlaku sedangkan setiap pelajar adalah sama rata tanpa mengira kelas dan darjat,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah Adnan yang memegang kad pelajar 1534349 telah didaftarkan sebagai pelajar pengajian bebas (independent studies) dan jika benar, ia bertentangan dengan Peraturan 26 Penilaian Prestasi Akademik Siswazah (Sarjana Muda) 2015 (Regulation 26 of SAPER).

Peraturan itu mencatatkan bahawa hanya ‘penuntut yang mendapat ijazah’ sahaja dibolehkan untuk mengambil pengajian bebas dan mana- mana pelajar tidak dibenarkan untuk mengambilnya jika sesuatu subjek itu tidak ditawarkan pada semester berikut.

Jika bukan, Ainina mempersoalkan, mengapa Adnan hadir ke kelas harian seperti penuntut biasa tetapi mendapat sesi kuliah secara persendirian.

Lantaran itu, beliau menuntut AIKOL bersikap adil dan menjawab segala persoalan hipokrasi dan layanan pilih kasih kerana ia akan mencalar nama baik UIAM sebagai taman ilmu dan budi. – MalaysiaGazette