Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bahagian runcit di Pasar Raya Aeon 1Utama di Bandar Utama dekat sini yang diarahkan tutup gara-gara penemuan seekor tikus di dalam premisnya dibenarkan membuka semula sekiranya tahap kebersihannya memuaskan hati penguat kuasa Jabatan Kesihatan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bahagian runcit pasar raya tersebut diarah tutup pada 31 Mac lalu untuk tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selepas penemuan tikus dalam premis.

“Premis tersebut boleh beropeasi semula lebih awal sekiranya pemeriksaan semula kebersihan premis oleh kementerian mencapai tahap memuaskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, rakaman video seekor tikus berada di rak barangan kononnya diambil di pasar raya tersebut menjadi tular di laman sosial.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, kementerian menjalankan pemeriksaan ke atas 635,439 premis makanan di seluruh negara dari tahun 2012 hingga tahun 2016.

“Hasil pemeriksaan tersebut sebanyak 15,731 premis makanan tidak bersih telah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 termasuk kerana kehadiran tikus.

“Di samping itu, sejak Julai 2013 hingga 2016 sebanyak 24,266 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengusaha makanan yang gagal mematuhi keperluan kebersihan makanan,” katanya sambil memberi amaran keras kepada pengusaha perniagaan.-MalaysiaGazette