Surat pengesahan daripada Setiausaha Agung Bersatu bahawa Yusri adalah ahli parti itu.

BACHOK – Ahli UMNO Bahagian Bachok di Kelantan minta Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menyemak semula keahlian seorang calon yang menawarkan diri bertanding jawatan ketua bahagian itu.

Ahli berkenaan yang enggan namanya didedahkan berkata, ini kerana hasil semakan mendapati, calon itu, Datuk Yusri Che Noh adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, beliau bukan membuat dakwaan rambang, sebaliknya mempunyai bukti jelas kedudukan keahlian calon terbabit berdasarkan surat pengesahan daripada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Kita telah buat aduan kepada JPU berhubung perkara ini, tetapi jawapan yang diterima amat mendukacitakan. JPU membenarkan individu berkenaan bertanding.

“Persoalan kami, bagaimana individu yang masih lagi berstatus ahli Parti Bersatu dibenarkan bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO. Apa asas JPU gunakan.

Bagaimanapun, JPU mempertimbangkan Yusri dibenarkan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Bachok.

“Sedangkan, mereka yang keluar parti dan kembali menyertai UMNO pun ada tempoh masa jika mereka hendak bertanding jawatan,” katanya kepada media, hari ini.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Bachok ketika ini disandang Datuk Mohd Zain Yassim yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Yusri yang juga ahli perniagaan mencabar Mohd Zain bagi merebut jawatan itu pada pemilihan UMNO kali ini.

Berdasarkan surat JPU yang ditandatangani Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, Yusri dibenarkan bertanding meskipun didakwa masih berstatus ahli Bersatu.

Sementara itu, hasil carian media mendapati Yusri masih lagi berstatus ahli Bersatu dengan nombor keahlian 00154222.

Status keahlian Yusri disahkan pada Mei 2018 dengan keahlian cawangan Kampung Tok Jawa, Bachok, Kelantan. – MalaysiaGazette