SEPANG: AirAsia Bhd melantik Riad Asmat, 46, sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu menggantikan Aireen Omar.

Sementara itu, Aireen dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, bahagian Digital, Transformasi dan Perkhidmatan Korporat.

Pelantikan bekas Pengarah Pembangunan Perancangan Korporat, Strategi dan Perniagaan Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di sini hari ini.

Menurut Tony, pelantikan Aireen sebagai orang kanan AirAsia adalah untuk mengubah dan menaik taraf syarikat penerbangan ini menjadi syarikat digital.

“Pelantikan Aireen sebagai orang kanan saya merupakan isyarat AirAsia untuk mentransformasi syarikat ini daripada syarikat penerbangan konvensional kepada syarikat digital.

“Langkah ini merupakan penstrukturan semula syarikat penerbangan ini dalam berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya pada sidang media di jbu pejabat AirAsia hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tony turut mengumumkan pelantikan tiga individu dalam syarikat penerbangan tambang murah itu.

Bo Lingam dilantik sebagai Naib Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, bahagian Perniagaan Penerbangan, sementara Rozman Omar dilantik sebagai Pengarah Eksekutif AirAsia International Limited dan Kapten Adrian Jenkins sebagai Ketua Pegawai Operasi AirAsia yang baharu. – MalaysiaGazette