SPRM hakim
Logo SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat berusaha memperoleh maklumat dalam siasatan dakwaan penyelewengan dana negara berjumlah RM2.3 bilion.

Menurut kenyataan SPRM, suruhanjaya itu telah membekukan akaun bank melebihi RM39 juta yang membabitkan 192 akaun.

“Mengikut pecahannya, akaun bank yang dibekukan itu terdiri daripada 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu termasuk milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri serta ahli keluarga mereka.

“Selain itu, SPRM turut merakam pernyataan daripada dua individu yang bergelar Tan Sri tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, suruhanjaya tersebut membuat penggeledahan di kediaman serta premis yang melibatkan bekas menteri kanan dan ahli perniagaan berkenaan pada 7 Jun lalu.

“Kesemua mereka telah diserahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bagi tindakan-tindakan tersebut,” ujarnya.

Katanya, SPRM juga berjaya memperolehi beberapa dokumen berkaitan kes tersebut.- MalaysiaGazette