Pegawai penyiasat kanan 1MDB, Foo Wei Min hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Komplek Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OKTOBER 2023

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu pegawai penyiasat bahawa akaun peribadi AmIslamic yang dibukanya adalah untuk menerima sumbangan daripada Arab Saudi.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, ACP Foo Wei Min mengesahkan perkara itu pada prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari in.

Ketika soal balas bersama peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wei Min berkata, akaun terbabit menerima dana daripada Bank Riyad.

Katanya, antara transaksi itu adalah daripada Putera Faisal Turki Al Saud dan Kementerian Kewangan Riyadh.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak pernah mendapatkan penyata bank daripada Arab Saudi untuk siasatan yang dilakukannya itu.

Berikutan itu, Muhammad Shafee mempersoalkan mengapa Wei Min tidak cuba mendapatkan penyata bank dan beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa terdapat kelompongan dalam siasatan itu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

Muhammad Shafee bertanya jika Wei Min melakukan penyiasatan terhadap penyata akaun bank tiga dana syarikat iaitu Cistenique Inv (Cistenique), Enterprise Emerging Markets Fund (EEMF) dan Devonshire Capital Growth Fund (Devonshire) yang dikatakan memindahkan AS$1.59 bilion yang berpunca daripada bon 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL) kepada Tanore Finance Corp.

Tanore ialah syarikat pelaburan milik Tan Kim Loong yang dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Wei Min berkata, beliau melihat secara sekali imbas dan tidak melihatnya secara terperinci.

“Jadi anda tidak tidak lakukan analisis dokumen itu? Adakah anda berjumpa sesiapa daripada ketiga-tiga dana ini untuk mengesahkan siasatan anda?,” soalnya.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Akuan peribadi Bank AmIslamic milik Najib dibuka pada 2011 ketika beliau menjadi Perda Menteri.

Menurut Wei Min, beliau hanya menumpukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram hanya memberi tumpuan kepada wang yang masuk ke dalam Tanore daripada ketiga-tiga dana terbabit.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah  bersambung esok. – MalaysiaGazette

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette