Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis menyifatkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang memberi kuasa ‘mutlak’ kepada Perdana Menteri sebenarnya ‘salah’ serta teruk.

Menurut Tun Mahathir merangkap Ahli Parlimen Langkawi itu, peruntukan undang-undang dalam akta tersebut memberi kuasa ‘hidup dan mati’ terhadap seseorang kepada Perdana Menteri untuk berbuat apa sahaja dengan kuasa dimiliki olehnya.

Malah beliau menyifatkan akta itu sebenarnya sangat ‘teruk’ kerana Perdana Menteri sepatutnya tidak boleh mempunyai kuasa dalam hal berkenaan.

“Sebenarnya kuasa untuk mengisytiharkan darurat di bawah Yang di-Pertuan Agong, baginda akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri.

“Namun apabila kuasa diberikan kepada Perdana Menteri, adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk Perdana Menteri itu sendiri berbuat apa-apa seperti mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai kawasan keselamatan dan menahan orang tanpa perlu ke mahkamah.

“Malah, seandainya seseorang yang itu ditahan itu meninggal dunia, tidak ada sebarang siasatan, ini sebenarnya memberi kuasa kepada Perdana Menteri terhadap hidup dan mati orang lain, ini tidak elok,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Jelas Tun Mahathir lagi, sebetulnya kuasa tersebut yang diperuntukan sebelum ini seharusnya menjadi hak Yang di-Pertuan Agong dengan had-had yang sepatutnya.

“Kita tidak mahu memberi Perdana Menteri terlalu banyak kuasa sehingga beliau boleh melanggar undang-undang secara sah,” tegasnya.

Kerajaan membentangkan pindaan kepada Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 di Dewan Rakyat hari ini yang antara lain akan menyaksikan kuasa perdana menteri ‘dilucutkan’ bagi memperkasakan MKN.

Akta MKN (Pindaan) 2019 jika diluluskan juga akan menyaksikan pendakwaan di bawah akta berkenaan akan diperkuatkan.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin membentangkan pindaan Akta MKN 2016 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat menyaksikan Yang di-Pertuan Agong bakal mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai kawasan keselamatan pada masa kelak.

Namun demikian, Perdana Menteri akan tetap menjawat jawatan Pengerusi MKN.

Dalam Manifesto PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lepas, mereka telah menggariskan Akta MKN 2016 sebagai satu undang-undang yang akan dimansuhkan kerana ia dianggap sebagai zalim.

Bagaimanapun, kerajaan PH menjadi bahan kritikan umum termasuk dalam kalangan pemimpin sendiri apabila membuat pengumuman akta ini hanya sekadar akan disemak serta berkemungkinan tidak akan dimansuhkan seperti yang dijanjikan. –MalaysiaGazette