Alif Johan (kiri) dan Nora.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Nora Ariffin terus terkesan dengan kehilangan anak keduanya apabila mengimbau detik-detik terakhir bersama arwah Alif sewaktu hayatnya.

Momen itu dikongsikan Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 46, menerusi Instagram Story miliknya malam tadi.

“Setiap malam waktu-waktu begini, bila Alif ada di rumah, dialah yang akan menemani saya minum air sambil berborak. Masa kualiti untuk kami.

“Setelah Johan (Allahyarham Johan Nawawi) tak ada, Iman berkahwin dah tinggal berasingan. Alif lah yang menjadi anak lelaki di rumah. Bila dia habis kelas, dia mesti balik rumah.

“Dialah pendengar segala cerita, teman berbual, teman keluar jalan-jalan bersama adik-adik lain, penasihat, peminat, penyokong dan pengkritik saya,” luahnya.

Bahkan, pelantun lagu Hanya Satu itu turut mencoretkan perbualan terakhirnya bersama Alif.

“Alif boleh ambil mama malam ni? ‘Boleh..kenapa tak boleh pulak…’

“Jawapan terakhir Alif pada saya,” tulisnya.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Syakir Alif Johan, 20, meninggal dunia secara mengejut di kediamannya pada 14 Disember lalu.

Anak kedua daripada empat beradik itu dikatakan rebah di rumahnya selepas pulang menghantar Nora ke lapangan terbang.

Nora sebelum ini kehilangan suaminya yang juga komposer, Johan Nawawi pada 24 Mac 2017. – MalaysiaGazette