Aliff Aziz melafazkan cerai talak satu kepada isterinya, Bella Astillah hari ini.

KUALA LUMPUR – Kemelut rumah tangga penyanyi dan pelakon kontroversi Aliff Aziz akhirnya menemui noktah selepas dia melafazkan cerai talak satu kepada isterinya, Bella Astillah hari ini.

Lafaz itu dibuat Aliff di hadapan Hakim Izzat Syazli Murshid petang tadi dalam satu prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Bella atau nama asalnya, Dayang Nabellah Awang Astillah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984.

Bella memaklumkan perceraian dituntut kerana mereka sudah tidak lagi mempunyai persefahaman selain sudah tiga bulan tidak lagi tinggal sebumbung.

“Kami tidak ada persefahaman dan suami selalu curang,” katanya dalam nada sedih.

Mahkamah memerintahkan Bella supaya beridah sebanyak tiga kali suci manakala sijil nikah mereka diperintah untuk dibatalkan.

Aliff juga bersetuju untuk membayar nafkah anak mereka, Mohamad Ayden Adrean, sebanyak RM1,000 sebulan yang akan dimasukkan ke akaun Bella bermula Mei ini.

Sebelum ini rumah tangga pasangan berkenaan dihidu mengalami masalah apabila satu persatu kecurangan Aliff mula didedahkan di media sosial. – MalaysiaGazette