Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM

KUALA LUMPUR – Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian 17 tahun kejuaraan bagi kategori beregu lelaki di Kejohanan Badminton All England 2024 selepas mengesahkan slot ke final, awal pagi waktu Malaysia hari ini.

Juara Dunia 2022 itu bijak menggunakan peluang terhadap kesilapan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan untuk menundukkan mereka menerusi permainan straight set 21-16 dan 21-15 dalam tempoh 36 minit pada separuh akhir kejohanan badminton tertua di dunia itu yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Kemenangan itu menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengekalkan rekod tanpa kalah 4-0 ke atas Jhe Huei-Po Hsuan yang juga ranking ke-15 dunia selain mengulangi pencapaian mara ke final edisi 2019 sebelum tewas kepada Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21 dan 12-21.

Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas akhir ialah pilihan keenam kejohanan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun atau juara All England 2023 Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia meraih kejuaraan All England ialah pada edisi 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menumbangkan Cai Yun-Fu Haifeng dari China 21-15 dan 21-18.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong ketika itu hanya diperoleh selepas 25 tahun ia dirangkul oleh  gandingan Razif Sidek-Jailani Sidek pada 1982. – Bernama